عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَعْتَكِفُ العَشْرَ الْأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللهُ ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ . ( مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ
Daripada Aisyah RA : Sesungguhnya Nabi SAW melakukan I’tikaf sepuluh akhir bulan Ramadhan hingga beliau wafat, kemudian I’tikaf pula isteri-isteri baginda sesudahnya.
(Muttafaq ‘Alaih)
Pengajaran Ayat :
1. Berdasarkan hadis sahih diatas Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan I’tikaf pada 10 akhir Ramadhan dan kemudian ibadah tersebut diteruskan oleh isteri-isterinya setelah baginda SAW wafat. Tidak dinafikan bahawa I’tikaf selama sepuluh akhir Ramadahan adalah cara I’tikaf sangat sempurna, sebab demikianlah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW namun demikian, itu tidak bermakna kita selaku umatnya tidak boleh melakukan sekedar apa yang kita termampu. Malahan ibadat I’tikaf juga boleh dilakukan di luar bulan Ramadhan sebagaimana baginda SAW juga pernah I’tikaf dalam bulan Syawwal. Sungguh banyak ayat yang menyatakan bahawa kita disuruh bertaqwa kepada Allah sesuai dengan kemampuan ( Al-Taghabun : 16) ; Allah SWT tidak memberatkan manusia kecuali apa yang mereka termampu ( Al-Baqara : 286 ). Rasulullah SAW bersabda : Terhadap apa yang aku suruh maka lakukanlah seberapa yang kamu termampu ( Muttafaq ‘Alaih ) ; Kaedah Ilmu Ushul : Apa yang kamu tidak mampu lakukan seluruhnya, maka janganlah kamu tinggalkan seluruhnya. Kesimpulannya : Kita boleh melakukan I’tikaf sesuai dengan kemampuan kita.
2. Tempat I’tikaf adalah masjid atau paling kurang musalla atau surau yang diadakan solat berjamaah lima kali sehari semalam. Tidak sah I’tikaf dalam rumah walaupun dinamakan dengan ( مَسْجِدُ البَيْتِ ) : masjid rumah iaitu ruang khas yang digunakan oleh keluarga solat berjamaah, sebab itu tidak memenuhi maksud masjid. Tidak dinafikan bahawa I’tikaf dalam tiga masjid utama : Masjid Al-Haram, Masjid Nabawiy dan Masjid Al-Aqsa adalah lebih afdhal, namun itu tidak bermakna tidak sah I’tikaf dalam selain tiga masjid tersebut. Syeikh Abdul Azizi Bin Bazz RH berpendapat : Hadis tersebut hanya menyatakan afdhaliyah (kelebihan). Maksud I’tikaf : Menekuni masjid dengan tujuan untuk bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah. Orang yang sedang beri’tikaf hendaklah sentiasa berada di dalam masjid selama dia beri’tikaf dan tidak keluar kecuali jika ada keperluan seperti makan, minum, buang air, berwudhuk dan lain-lain. Selama I’tikaf hendaklah diisi dengan ibadat seperti solat, membaca Al-Quran, berdoa, berzikir. Sebahagian ulama berpendapat juga boleh diisi dengan membaca buku-buku agama, mendengar tazkirah dan segala jenis kegiatan untuk mendapat keredhaan Allah SWT.
3. Hukum I’tikaf adalah sunat. Ia tidak wajib kecuali jika dinazarkan. Mulailah I’tikaf dengan niat ketika memasuki masjid. Rukun I’tikaf ada dua : 1. Niat ; 2. Berada di dalam masjid ; Sedangkan syarat sah I’tikaf pula ialah : muslim, berakal, mumayyiz (tujuh tahun ke atas), bersih dari haidh, nifas dan junub. Bagi wanita yang ada suami mestilah mendapat keizinan dari suaminya, sedangkan gadis mestilah mendapat keizinan dari walinya dan kehadiran mereka di masjid tidak menimbulkan fitnah. Dan hindarkanlah segala perkara yang boleh membatalkan ibadat I’tikaf seperti : 1. Keluar masjid dengan sengaja tanpa sebab yang dibenarkan kerana perbuatan itu bercanggah dengan makna I’tikaf, sedangkan menetap dalam masjid adalah rukun I’tikaf sebagaimana firman Allah : Sedangkan kamu beri’tikaf dalam masjid ( Al-Baqarah : 187 ) ; 2. Murtad, sebab ia bercanggah dengan makna ibadat ; 3. Gila, mabuk, haidh, nifas sebab semua perkara ini bercanggah dengan syarat sah I’tikaf ; 4. Jima’, kerana Allah SWT melarang berbuat demikian : Janganlah kamu campuri mereka, sedanglan kamu beri’tikaf dalam masjid. ( Al-Baqarah : 187 )
4. Amalan yang sangat digalakkan ketika I’tikaf antaranya : Memperbanyak solat sunat, membaca Al-Quran, berzikir dengan tahmid, tasbih, takbir, istighfar, selawat kepada Nabi SAW serta berdoa. Termasuk juga digalakkan dalam I’tikaf membaca buku-buku Tafsir Al-Quran, Hadis-hadis Nabi SAW dan kisah-kisah para sahabat Nabi dan para solihin dan buku-buku agama lainnya seperti ilmu Fiqh dan lain-lain. Sedangkan amalan-amalan yang dibenci ketika I’tikaf, antaranya : Menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang tidak berguna sama ada dalam bentuk ucapan atau perbuatan, sebab Rasulullah SAW bersabda : Diantara tanda kebaikan Islam seseorang ialah dia meninggalkan perkara yang tidak berguna ( HR Tarmidzi dan Ibnu Majah ). Juga adalah dilarang ketika I’tikaf hanya membisu tidak bercakap kerana mengira kononnya itulah diantara cara untuk mendekatkan diri kepada Allah. Di dalam hadis sahih riwayat Imam Bukhari dijelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah menegor seorang sahabat bernama Abu Israil berbuat demikian.
5. I’tikaf dalam masjid, lebih-lebih lagi dalam 10 akhir Ramadhan sangat banyak fadhilat atau kelebihannya, antaranya : Besar kemungkinan kita akan mendapat Lailat Al-Qadr. Menurut Rasulullah SAW Lailat Al-Qadr hanya akan diturunkan Allah SWT dalam 10 akhir Ramadhan setiap tahun, lebih-lebih lagi pada malam-malam ganjilnya. Sila lihat Nota 039 – Malam Lailat Al-Qadr. Rasulullah SAW juga pernah menyatakan kelebihan I’tikaf dalam sabdanya : Barangsiapa yang I’tikaf satu hari semata-mata mengharap keredhaan Allah, niscaya Allah akan menjadikan jarak diantaranya dengan api neraka sejauh tiga parit dan tiap-tiap parit jaraknya adalah lebih jauh daripada jarak antara dua mata angin. ( Hadis Riwayat Imam Al-Tabaraniy dengan sanadnya Hasan ). Bagi kaum wanita yang tidak mampu beri’tikaf dimasjid jangan bersedih, apakah kerana keuzuran seperti dalam haidh atau nifas atau atas sebab-sebab yang lain seperti tidak dapat meninggalkan rumah kerana memiliki anak-anak yang masih kecil, diharap jangan putus asa. Anda masih ada peluang untuk mendapat Lailat Al-Qadr. Lakukan apapun jenis ibadat yang sesuai di dalam rumah masing-masing. Semoga anda juga layak mendapat kelebihan Lailat Al-Qadr. Perbanyak doa ! Sebab salah satu makna Lalat Al-Qadr adalah malam penentuan taqdir untuk setahun mendatang. Perbanyakanlah doa :- ( اَللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ المُوَفَّقِيْنَ بِلَيْلَةِ القَدْرِ ، اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنَّا ) : Ya Allah, masukkanlah kami ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang Engkau restui mendapat Lailat Al-Qadr ; Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, Engkau suka kepada kemaafan, oleh itu maafkanlah segala dosa kami. Amin Ya Rabbal ‘Alamin..Sama2 kita beramal InsyaAllah ;)
Kredit pada :- Page Sham Kamikaze
Ilmu yang bermanfaat.
ReplyDeleteInsyaAllah..moga dpt keberkatan dan cube kita amalkan..
ReplyDelete